Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasilnya mencecah RM1.137 bilion bagi tahun depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, unjuran hasil itu yang paling tinggi dalam sejarah dengan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding Belanjawan Tahun 2023.

Daripada jumlah itu,  sebanyak RM1.125 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus.

Ia merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan sebanyak RM54 juta atau 5.04 peratus berbanding tahun 2023.

”Manakala bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan yang akan disediakan adalah sebanyak RM301.29 juta. Jumlah tersebut merangkumi projek infrastruktur sebanyak RM171.98 juta dengan pembiayaan secara langsung.

”Sebanyak RM129.30 juta atau bersamaan 42.92 peratus adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek bekalan air,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Pahang 2024 di sini hari ini.

Menurut beliau, Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2024 akan menggariskan lima tunjang utama belanjawan iaitu memacu daya saing dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur, memperkasa tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.

Selain itu, tunjang lain juga termasuklah menjamin keunggulan generasi akan datang dan memperteguh kemakmuran negeri, katanya. – MalaysiaGazette