Abdul Rasheed Ghaffour

DUBAI – Malaysia menjangkakan melihat lebih banyak pelaburan hijau dan berkaitan perubahan iklim tahun depan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan pada empat hingga lima peratus, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, kerajaan dan sektor swasta telah melaksanakan beberapa projek yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara mulai tahun depan dan beberapa tahun seterusnya.

“Terdapat beberapa rancangan yang telah diumumkan kerajaan, salah satunya berkaitan perubahan iklim iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Selain itu, pelbagai projek akan turut dilaksanakan. Terdapat 10 projek utama dan ini akan merangkumi enam tunjang penting ekonomi hijau yang juga akan menyokong pertumbuhan ekonomi bukan sahaja untuk tahun depan tetapi bagi tiga hingga lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di luar acara Hari Kewangan Iklim Malaysia di Pavilion Malaysia pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di sini.

Abdul Rasheed berkata, selain daripada NETR, Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen yang dilancarkan baru-baru ini dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 juga akan menarik pelaburan khusus yang akan turut menyokong pertumbuhan Malaysia dalam tempoh terdekat, ia akan turut merangkumi projek berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain sokongan pelaburan, beliau berkata sektor eksport juga menyaksikan sedikit peningkatan tahun ini dan dijangka bertambah baik tahun depan, ia menyokong pertumbuhan negara.

Pertumbuhan ekonomi juga akan dirangsang oleh meningkatkan permintaan domestik dan penggunaan swasta, serta industri pelancongan, katanya.

Sementara itu, mengenai prestasi ringgit, Abdul Rasheed berkata BNM kekal komited untuk mengelakkan turun naik yang berlebihan dalam pasaran mata wang kerana pasaran baru muncul sebahagian besarnya terjejas oleh kekuatan dolar US.

“Daripada segi turun naik ringgit, jika kita membandingkan kedudukan kita dengan negara lain di rantau ini, Malaysia adalah yang paling kecil daripada segi turun naik mata wang.

“Adalah menjadi peranan BNM untuk mengekalkan fungsi teratur dalam pasaran mata wang dan memastikan tiada kemeruapan yang berlebihan dalam ringgit,” katanya.

Daripada segi dasar monetari ekonomi maju, Abdul Rasheed berkata kitaran kenaikan kadar mungkin sudah sampai pada tahap kemuncak.

Ekonomi yang semakin lemah, ditambah dengan penyederhanaan inflasi akan menyokong ringgit dan mata wang pasaran sedang pesat membangun yang lain, katanya. – BERNAMA