Logo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan tiada pemansuhan kepada pembekuan pengeluaran lesen baharu bagi penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

DBKL dalam kenyataannya memaklumkan Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang baharu dilantik telah menjalankan fungsi sedia ada dan hanya mempertimbangkan permohonan pembaharuan lesen.

“Pernyataan bahawa Lembaga Pelesenan Eksais yang bersidang pada 23 Nov 2023 telah menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina adalah tidak benar kerana pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di ketiga-tiga premis berkenaan masih tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

“Lembaga yang bersidang pada 23 Nov itu, hanya meluluskan sejumlah 1,519 permohonan pembaharuan lesen,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan DBKL merupakan urus setia kepada Lembaga Pelesenan Eksais WPKL dalam memproses permohonan Lesen Minuman Keras di Kuala Lumpur selaras dengan perwakilan kuasa di bawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) 1977.

Tular baru-baru ini menyatakan ahli jawatankuasa yang baharu dilantik Lembaga Pelesenan Eksais di bawah DBKL dilaporkan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.

Di bawah garis panduan yang dilaksanakan pada 1 Nov 2021, DBKL melarang kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina di Kuala Lumpur daripada menjual minuman keras dan larangan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ramai orang bukan Islam di ibu kota kerana ia dilihat sebagai pelanggaran hak mereka sebagai pengguna. – BERNAMA