KUANTAN – Menteri Besar Pahang menghargai semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memberikan yang terbaik kepada prestasi ekonomi di negeri itu.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi kutipan hasil pendapatan negeri yang konsisten saban tahun sejak lima tahun lepas terus diungguli oleh Pahang.
Sehingga berakhir 3 Disember 2023, kutipan hasil negeri sebanyak RM1.164 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM1.083 bilion.
”Ini bermakna kerajaan negeri sudah berjaya mencapai 107.42 peratus sasaran yang ditetapkan. Pencapaian ini amat membanggakan memandangkan kerajaan negeri berjaya mengekalkan prestasi kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion bagi tempoh dua tahun berturut-turut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ucapaan Belanjawan 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di sini hari ini.
Kejayaan itu, menurut Wan Rosdy, sekali gus meletakkan Pahang setanding dengan negeri-negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.
Dalam pada itu beliau berharap rakyat di negeri ini untuk menanam rasa syukur hasil yang dikecapi oleh kerajaan negeri dan membidas sikap sesetengah pihak yang tidak menghargainya.
“Jangan pernah menjadi pelangi untuk orang yang buta warna. Seikhlas apa pun kita, sesayang dan secinta apa pun kita dan sebesar apa pun pengorbanan kita, tak akan berharga sedikit pun di hadapan orang yang tidak pernah bersyukur memilikinya.
”Kalau dengan segelas air boleh menghilangkan dahaga, kenapa kita mahukan selaut gelombang yang akan menenggelamkan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette