Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Kemenangan Pas dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Sabtu lalu tidak memberi sebarang kesan atau gambaran menjurus kepada penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia tidak memberi apa-apa isyarat kepada kerajaan kerana kerusi itu pernah dimenangi Pas pada pilihan raya umum ke-15.

“Kawasan Kemaman itu dulunya siapa menang…Pas kan? Baru ni (Sabtu) siapa menang…PAS juga. Jadi ia tiada nilai tambah kepada pembangkang.

“Jadi tiada apa-apa (isyarat) kerana tiada pertambahan sebarang kerusi dan tidak beri sebarang isyarat kepada kerajaan madani yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sambutan Setahun KDN Madani dan Perhimpunan Bulanan KDN, di Auditorium SEtia Perkasa 8, Parcel D, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menambah bahawa perkara sebaliknya hanya akan berlakunya sekiranya Barisan Nasional (BN) di bawah kerajaan Perpaduan menang pada PRK tersebut Sabtu lalu.

Menurutnya, keputusan PRK Kemaman itu menyaksikan PAS di bawah Perikatan Nasional (PN) berjaya menang semula di kerusi itu.

“Ia cuma bertukar wakil rakyat dan sekarang penduduk di kawasan itu memilih semula PN bermakna tiada apa-apa isu. Saya juga mahu mengucapkan tahniah atas kemenangan itu,” katanya.

Pada PRK Kemaman Sabtu lalu, Pas berjaya mengekalkan kerusinya apabila calon mereka yang juga Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperolehi sebanyak 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh calon Pas kali ini melebihi 10,041 undi berbanding bekas penyandangnya, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi sebelum Petisyan di Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan kemenangan itu.-MalaysiaGazette