Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diminta memantau dan meneliti secara berkala laporan kewangan, tahunan dan kegiatan sesebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dengannya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,, ia bagi mengelak berlaku aktiviti yang bercanggah dengan akta pertubuhan tersebut.

“Saya ikuti dekat tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas sebuah pertubuhan dana awam yang membela rakyat Palestin kini menjalani pembekuan akaun selepas menerima aduan dakwaan salah guna selain dikesan berlaku unsur penyelewengan dana lebih RM70 juta.

“ROS perlu menambahbaik dan memperketatkan lagi tahap kepatuhan NGO terhadap undang-undang pertubuhan yang berkuatkuasa di dalam negara kita dan perlu jadikan laporan tahunan, kewangan dan kegiatan sebagai syarat untuk menyambung pendaftaran pertubuhan.

“Kalau mereka gagal menghantar sebarang laporan kewangan, tahunan dan kegiatan pertubuhan mereka dan tidak membalas notis peringatan, ambil tindakan tegas membatalkan pendataran NGO itu tanpa kompromi.

“Saya akan bincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) (Datuk Ruji Ubi) dan kepimpinan ROS untuk lihat pendaftaran khususnya NGO,” katanya kepada media selepas Sambutan Setahun KDN Madani dan perhimpunan bulanan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ruji dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR menambah, Akta Pertubuhan 1966 memberi kuasa kepada ROS antara lain untuk menerima permohonan pendaftaran sesuatu pertubuhan dan memberi kelulusan serta memastikan sesebuah pertubuhan itu bergerak sesuai dengan undang-undang pertubuhan melibatkan tiga elemen iaitu laporan kewangan, tahunan dan kegiatan.

Jelasnya, setiap laporan tahunan atau kewangan sesebuah kegiatan NGO yang diterima harus diperhalusi dengan lebih mendalam dan kemas bagi menghalang wujudnya pertubuhan yang berdaftar tetapi aktiviti dilakukan tidak sepertimana yang dinyatakan dalam undang-undang pertubuhan.

“Jadi JPPM ketika jalankan tugas hakiki, masih boleh dari semasa ke semasa buat pemeriksaan, kalau yang berdaftar itu adalah sebanyak 70,000 atau 80,000 pertubuhan bawah JPPM (RoS) tapi dari masa ke semasa, buat semakan secara rawak, berkala, bagi pastikan ada kepatuhan undang undang.

Justeru, beliau menggesa RoS selain menjalankan tugasan hakiki juga perlu membuat semakan dari masa ke masa agar pertubuhan berdaftar patuh kepada undang-undang,” ujarnya.-MalaysiaGazette