Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau kini kembali sihat selepas menjalani pembedahan prostat baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembedahan adalah prosedur biasa yang dialami bagi golongan lelaki.

Justeru beliau menafikan dakwaan mengghidap kanser prostat yang tular media sosial sebelum ini.

“Saya sendiri pun tidak tahu akan melakukan perkara itu dan saya memang ada menjalani pembedahan prostat.

“Semua orang lelaki ada prostat dan di depan ini mungkin ada sama ada besar atau kecil.

“Tapi janganlah buat spekulasi yang macam-macam. Alhamdulillah saya sihat atas doa semua termasuk orang yang mendoakan saya melakukan perkara yang tidak pernah fikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 di sini hari ini.

Jumaat lalu, Zahid kembali bertugas serta menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas tempoh berehat setelah menjalani pembedahan baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dilihat hadir dalam bilik mesyuarat dalam keadaan ceria ketika membuat pendaftaran Identiti Digital Nasional atau Digital ID.

Pada 19 November lepas, anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menerusi hantaran di Instagram, mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan yang diadakan pada 14 November lalu.

Pada 23 November lalu, Ahmad Zahid dalam hantaran di laman sosial miliknya berkata, beliau kini dalam tempoh berehat seperti yang dinasihatkan oleh doktor, sebelum kembali bertugas. – MalaysiaGazette