KUALA LUMPUR – Suria FM mengumumkan penyampai radionya, Shuib menamatkan perkhidmatan di stesen radio itu, berkuat kuasa hari ini.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Pengurus Besar Suria FM iaitu DJ Lin atau Roslinda Abd Majid yang menyatakan Shuib mahu memberi fokus kepada perniagaan miliknya.
“Kerjasama yang telah terjalin selama hampir dua tahun ini merupakan satu langkah strategik dalam rangka perancangan bagi tahun 2023 lalu melibatkan kolaborasi untuk beberapa tempoh sahaja.
“Shuib ingin menumpukan sepenuhnya kepada perniagaannya yang semakin berkembang. Diharapkan dia terus berjaya dalam setiap usaha perniagaan dan kerjayanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun DJ Lin juga berharap kolaborasi bersama Shuib akan terus terjalin meskipun tidak lagi terikat di bawah jenama Suria FM.
Malah penglibatan Shuib menjayakan segmen Morning Morning Suria sebelum ini dilihat cukup berhasil menerusi elemen-elemen kreatif yang dibawakan.
“Komitmen Shuib juga menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat kami.
“Kami berterima kasih diatas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib,” ujarnya.
Shuib diumumkan sebagai penyampai radio Suria FM pada 27 Ogos tahun lalu.
Dia mengendalikan segmen berkenaan bersama Ajak dan Suraya Borhan.
Sementara itu DJ Lin memaklumkan, pihaknya akan mendedahkan nama penyampai baharu dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette