Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menarik balik permohonannya bagi mendapatkan dokumen daripada dua peguam yang disyaki menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan proses penyelesaian antara kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM melalui dua surat bertarikh 29 November yang dihantar kepada mahkamah serta diperoleh media, menyatakan bahawa pihak pemohon (SPRM) berhasrat untuk tidak meneruskan permohonan berkenaan dan memohon agar satu tarikh pengurusan kes baharu ditetapkan oleh mahkamah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan pada Rabu ini.

Pada 11 Oktober lepas, SPRM memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co serta peguam Rosli Dahlan dan Rosli Dahlan Saravana Partnership sebagai responden.

Chetan merupakan peguam kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes sivil manakala Rosli mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam kes berkaitan projek Jana Wibawa.

Dalam permohonan itu, SPRM memohon dua responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli), penyata akaun serta akaun dua firma guaman berkenaan.

Dokumen itu diperlukan untuk mengenal pasti pelantikan dua responden sebagai peguam Goldman Sachs dan 1MDB dalam urusan penyelesaian dengan pihak kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.

Berdasarkan afidavit kedua-dua permohonan itu, Pegawai Penyiasat SPRM, Mohamad Sabri Mohd Latif berkata, siasatan sedang dijalankan terhadap dua responden itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sementara itu, Rosli pada 3 November lepas, memohon untuk membatalkan permohonan SPRM atas alasan agensi berkenaan tidak mempunyai kedudukan undang-undang atau locus standi untuk mendapatkan dokumen tersebut. – Bernama