Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah

SERDANG – Raja Muda Selangor menyarankan alumni Putra Business School (PBS) memanfaatkan kepakaran bidang pengurusan dan perniagaan mereka kepada masyarakat terutama dalam komuniti perniagaan.

Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki graduan sepanjang pengajian serta pengalaman dalam industri mampu memacu perubahan positif dalam ekosistem perniagaan dan masyarakat.

“Beta yakin bahawa sekolah perniagaan ini mampu membina legasi yang cemerlang dalam graduannya yang bakal memberi impak yang bermakna dalam dunia pendidikan perniagaan, dan saya berharap dapat menyaksikan pencapaian yang hebat kelak nanti,” titahnya.

Baginda bertitah pada majlis Konvokesyen PBS 2023 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Titah Tengku Amir, disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran strategik serta semangat tinggi untuk mencapai kecemerlangan adalah asas kejayaan.

“Melalui pengalaman dalam ketenteraan dan pelbagai sukan (serta) peranan Beta (selaku Presiden) dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Komuniti Belia Selangor memberi pemahaman mendalam mengenai (hal ini).

“Kepentingan pembangunan belia, penglibatan komuniti dan kelestarian alam sekitar adalah prinsip penting untuk kelangsungan (ekosistem) perniagaan hari ini,” titahnya.

Muhammad Amin Jailani, penerima Anugerah Presiden Program Coursework Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Tadbir Urus Korporat).

Sementara itu, penerima Anugerah Presiden Program Coursework, Muhammad Amin Jailani menzahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan pengiktirafan yang diperoleh hari ini.

Dia yang mengambil jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Tadbir Urus Korporat) menyarankan pemilik perniagaan serta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) melanjutkan pelajaran mereka di PBS.

“SME adalah antara syarikat yang paling banyak taburan di Malaysia dan dianggarkan lebih 90 peratus adalah perniagaan sendiri. Jadi saya menyarankan kepada pengusaha perniagaan untuk ambil MBA di sini.

“Ini kerana PBS mempunyai keseimbangan antara teori dan amal. Selain itu, pendidikan di sini juga banyak mengajar kita bahawa tanpa tadbir urus yang betul sesuatu perniagaan itu masih belum lengkap. SME sebenarnya boleh berkembang lebih maju dan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara akan lebih baik,” ujarnya.

Muhammad Amin antara 162 graduan PBS yang menerima ijazah masing-masing sempena majlis penuh istiadat itu yang disempurnakan Tengku Amir selaku Canselor.

PBS merupakan institusi sekolah perniagaan milik penuh UPM yang mengendali dan menawarkan kursus dan program pascasiswazah dalam bidang pengurusan dan perniagaan. – MalaysiaGazette