Logo Jabatan penjara Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia menegaskan kenyataan yang dibuat oleh individu bernama ‘Abang Mat’ berhubung pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pada 2015 adalah tidak benar dan berniat jahat.

Menerusi kenyataan, Jabatan Penjara Malaysia berkata, pihaknya telah meneliti kenyataan melalui wawancara yang dibuat individu terbabit yang mengaku sebagai bekas banduan di Penjara Sungai Buloh melalui sebuah video di akaun Youtube ‘Cili Kasi Taruk’ pada Tarikh 3 Disember lalu berdurasi 1 jam 20 minit.

Menurut Jabatan Penjara, tiada bilik untuk penempatan banduan VIP di Penjara Sungai Buloh dan mana-mana penjara lain sebagaimana yang didakwa oleh individu terbabit.

Katanya, Anwar telah ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan kerana masalah kesihatan yang dialaminya.

“Klinik Penjara Sungai Buloh turut menempatkan banduan lain yang memerlukan rawatan dan pemantauan kesihatan yang lanjut.

“Hampir keseluruhan banduan yang ditempatkan di klinik penjara berkenaan adalah banduan warganegara Malaysia dan bukan hanya banduan warga negara asing. Semua banduan yang berada di klinik penjara disediakan katil sepertimana pengesyoran pegawai perubatan dan untuk kepentingan kesihatan mereka.

“Segala kemudahan yang disediakan di klinik penjara adalah bagi kepentingan kesihatan banduan dan dengan pengesyoran pegawai perubatan iaitu sepertimana dinyatakan dalam Peraturan 234 Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya.

Menurut Jabatan Penjara, kerja-kerja membersihkan kawasan klinik termasuklah bilik-bilik di klinik dilaksanakan oleh banduan yang dipilih dan ditempatkan di klinik berkenaan dan bukannya dari blok penginapan yang lain.

Ujarnya, setiap kerja-kerja berkenaan adalah dalam pemantauan secara rapi dan dekat oleh pegawai penjara.

Jabatan Penjara turut menegaskan, tiada sebarang tirai dipasang untuk melindungi bilik dasar dan seperti mana bilik-bilik banduan lain, tirai tidak dipasang bagi membolehkan kawalan dan pemerhatian oleh pegawai penjara dapat dilaksanakan tanpa halangan.

Malah katanya, terdapat juga kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dikawasan tersebut sebagai bantuan kawalan.

Berhubung dakwaan mengatakan waktu senaman pada sebelah pagi juga adalah tidak tepat, malah berasaskan rekod jadual yang ditetapkan dan dilaksanakan oleh Penjara Sungai Buloh, kemudahan senaman tersebut dilaksanakan pada waktu petang.

“Percakapan ‘Abg Mat’ menyatakan DSAI berjogging hanya memakai seluar pendek dan tidak memakai baju juga adalah tidak tepat sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Penjara berkata, bagi sesi lawatan, perjumpaan untuk Anwar adalah sama seperti layanan yang diterima banduan lain iaitu mengikut sistem peringkat dan bukannya pada setiap hari.

Malah jelasnya, perjumpaan pula dilaksanakan di tempat lawatan dan bukannya di klinik penjara.

Tambah kenyataan itu, berasaskan Peraturan 91, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, Anwar boleh dibenarkan membuat perjumpaan khas bagi urusan yang mustahak dan perlu disegerakan.

“Kemudahan ini turut diberikan kepada banduan lain dalam urusan berkaitan antaranya kematian, perniagaan, pelajaran dan lain-lain urusan keluarga yang mustahak dan keluarga perlu memohon terlebih dahulu.

“Hampir kesemua perjumpaan DSAI bersama keluarga, isterinya ada bersama,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu lagi, bilik penempatan banduan di klinik penjara termasuklah bilik Anwar tidak boleh diakses oleh mana-mana banduan lain dan bilik tersebut turut dikawal oleh pegawai penjara yang dikhaskan untuk kawalan Anwar sahaja dan SOP yang disediakan tidak membolehkan banduan lain berada di situ.

“Bilik DSAI hanya menghadap dinding laluan petugas (pegawai penjara) dan hanya boleh dilihat dari pandangan hadapan bilik berkenaan.

“Maka, dakwaan ‘Abg Mat’ dapat melihat DSAI dalam jarak 50 meter adalah mustahil dan satu rekaan cerita semata-mata,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, Anwar ketika berada di dalam penjara mahupun di hospital luar penjara tidak pernah melakukan apa-apa perbuatan yang melanggar tatatertib penjara begitu juga pelawat yang melawatnya di penjara dan hospital turut mematuhi tatatertib lawatan yang diberikan.

Kawalan secara rapi oleh pegawai penjara menunjukkan Anwar sentiasa mematuhi peraturan penjara, katanya.

Berkenaan keperluan rawatan lanjut Anwar di hospital luar penjara adalah di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan dan Anwar turut mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan di Penjara Sungai Buloh.

Jelasnya, semasa berada di hospital luar Anwar dikawal rapi pada setiap masa termasuklah semasa pegawai perubatan membuat pemeriksaan, semasa lawatan oleh keluarga dan peguam.

“Selain daripada pihak yang dinyatakan, tiada individu lain yang dibenarkan masuk dan berjumpa dengan DSAI. Begitu juga pelawat yang hadir iaitu keluarga dan peguam patuh kepada SOP penjara termasuklah pemeriksaan yang perlu dilaksanakan oleh pegawai penjara terhadap mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia menegaskan pihak yang terlibat dengan kenyataan dibuat oleh Abang Mat perlu disiasat sewajarnya.

Katanya, Jabatan Penjara tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana dakwaan itu bukan sahaja menjejaskan imej Jabatan Penjara Malaysia, malah ia menjejaskan imej Anwar sebagai perdana menteri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.