Aksi pemain Erling Haaland yang berang terhadap pengadil Simon Hooper ketika perlawanan menentang Totenham

LONDON – Manchester City didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris lewat malam tadi susulan tingkah laku pemain mereka pada saat-saat akhir ketika seri 3-3 menentang Tottenham pada hujung minggu lalu.

Beberapa pemain bintang City, termasuk Erling Haaland yang berang, mengerumuni pengadil Simon Hooper selepas beliau gagal memberikan ‘advantage’ pada detik terakhir pertembungan Liga Perdana Inggeris yang menarik di Stadium Etihad, Ahad lalu.

Haaland dikasari Emerson Royal tetapi bangun sebelum melorongkan bola kepada Jack Grealish, namun Hooper memberhentikan permainan untuk menghadiahkan tuan rumah sepakan percuma, sesudah sebelumnya meminta permainan diteruskan.

Haaland berterusan melahirkan kemarahannya ketika dia meninggalkan padang selepas wisel penamat dan dia membantah selepas perlawanan itu dengan membuat hantaran klip insiden itu di laman X, dengan komen “Wtf”, satu perkataan yang mengutuk.

Pengurus Pep Guardiola berkata beliau faham dengan kemarahan penyerangnya.

“Dia amat kecewa,” kata bos City itu selepas perlawanan.

“Malah pengadil sekalipun – jika beliau beraksi untuk Man City hari ini beliau akan kecewa juga dengan tindakan itu, sudah pasti”.

Semalam, FA mengeluarkan kenyataan memaklumkan City sudah didakwa.

“Manchester City didakwa melanggar peraturan FA E20.1 selepas pemain mereka mengerumuni pegawai perlawanan semasa perlawanan Liga Perdana menentang Tottenham Hotspur pada Ahad, 3 Disember 2023,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

“Didakwa, pada minit ke-94 perlawanan, kelab itu gagal memastikan pemain mereka berkelakuan dengan cara yang wajar.

“Manchester City diberi masa hingga Khamis, 7 Disember untuk menjawab pertuduhan itu”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast