Penebusan e-kredit mula dibuka hari ini sehingga 20 Februari 2023, membabitkan empat penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet. Foto WAN NABIL NASIR, 04 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan semua perkhidmatan di media sosial terutama berkenaan penebusan kredit eMadani kepada wang tunai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, walaupun tiada lagi laporan diterima berhubung penipuan program eMadani namun langkah berwaspada wajar diambil oleh orang awam.

“Selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan program eMadani yang bermula pendaftarannya semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin menasihatkan masyarakat agar mengambil langkah berwaspada bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan.

“PDRM menggesa agar pendaftaran program eMadani dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan e-dompet Touch ‘n Go.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak menekan sebarang pautan daripada mana-mana iklan ata emel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menggunakan orang tengah sebagai pendaftar bagi akaun e-dompet dan mematuhi syarat-syarat penggunaan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, bantuan yang dilaksanakan secara sekali bayar (one-off) itu dibuka mulai 4 Disember hingga 20 Februari 2024.

Ia merupakan inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion.

Semalam, MoF dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMadani.

Katanya, langkah itu bakal diambil sekiranya terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast