Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan bersama dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dan Dadah (BSJND) Pasir Puteh itu membawa kepada rampasan dadah jenis ganja seberat 214 gram.

“Suspek merupakan seorang penganggur berusia 56 tahun itu ditahan pada jam kira-kira 11.10 pagi di rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap rumah suspek menemui ketulan-ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM3,140,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaizul Rizal berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Beliau berkata, reman terhadap suspek dipohon selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette