Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) membawa masuk pelaburan lebih RM10 bilion ke negeri Pahang tahun ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jumlah itu membabitkan RM9.575 bilion dalam pelaburan langsung asing dan RM839.4 juta daripada pelaburan domestik.

Jumlah pelaburan itu adalah sehingga bulan Jun 2023.

Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang memfokuskan usaha dan melaksanakan pelan tindakan menambah baik infrastruktur untuk menyokong inisiatif menarik lebih banyak pelaburan ke Pahang.

Antaranya kerja-kerja menaik taraf Pelabuhan Kuantan dan memastikan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur  (ECRL) disiapkan dengan segera seiring dengan Pelan Pembangunan Daerah Kecil Gebeng yang dijangka mampu menjadi hub logistik nasional menjelang 2027.

Fakhruddin berkata demikian mewakili Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Beliau mewakili ADUN Peramu Jaya untuk menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan pada Sidang Dun Pahang Ke-15  di Wisma Sri Pahang hari ini.

Tambahnya, projek ECRL akan dijadikan pemangkin pembangunan setempat menerusi strategi Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) mengikut penetapan fokus pelaburan sektor hiliran.

Sementara itu, katanya, pelaksanaan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan juga perlu direalisasikan bagi menaik taraf jaringan pengangkutan dan meningkatkan nilai tambah Pahang sebagai gerbang pelaburan pantai timur ke Asia Tenggara.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan kemudahan disediakan kerajaan negeri dalam usaha menarik pelabur bagi mempertingkatkan prestasi serta daya saing menarik pelaburan ke negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri Pahang turut mengaplikasikan strategi pelaburan berasaskan  di mana lokasi projek ditentukan mengikut zon sektor kluster industri. – MalaysiaGazette