NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kemanusiaan yang lebih buruk akan menimpa penduduk Palestin di Gaza.
Koordinator Kemanusiaan untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Lynn Hastings berkata, senario yang lebih mengerikan akan berlaku kerana operasi kemanusiaan mungkin tidak dapat bertindak balas.
Penyambungan semula perang d Gaza dengan Israel memperluaskan serangannya di selatan telah memaksa puluhan ribu orang lain ke ruang yang semakin mampat, terdesak untuk mencari makanan, air, tempat tinggal dan keselamatan.
“Tiada tempat yang selamat di Gaza dan tiada lagi tempat untuk dituju. Syarat yang diperlukan untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza tidak wujud,” katanya.
Hastings berkata ruang untuk operasi kemanusiaan di Gaza “sentiasa mengecil” dengan pekerja bantuan tidak lagi dapat mengakses dua laluan paling penting yang diperlukan untuk menjalankan operasi.
“Pengumuman mewujudkan apa yang dipanggil zon selamat dan bandar berkhemah tanpa jaminan bahawa orang ramai akan dapat bergerak dengan bebas dan bantuan boleh disampaikan di mana ada keperluan adalah membimbangkan. Zon ini tidak selamat apabila diisytiharkan secara unilateral,” tambahnya.
Memetik Agensi Anadolu, beliau berkata, PBB dan NGO sahaja tidak boleh menyokong populasi Gaza seramai 2.2 juta.
Hampir 16,000 orang telah terbunuh, kira-kira 70 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak akibat pengeboman besar-besaran Israel.
Kira-kira 1.8 juta rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal iaitu mewakili kira-kira 80 peratus penduduk Gaza. Separuh daripada kediaman Gaza telah rosak atau musnah.-Agensi