Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Tidak ada rakyat di negeri ini yang tinggal di bawah pokok kerana Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha membantu rakyat bagi mendapat keperluan sewajarnya seperti tempat tinggal.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, meskipun ada golongan yang tidak mampu mempunyai kediaman sendiri, mereka tidaklah merempat atau menumpang di rumah saudara mara.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan 1,029 Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma bagi mengatasi masalah tempat tinggal.

RRP yang dahulunya bernilai RM65,000  dan naik kepada RM75,000 kerana peningkatan kos pembinaan kini sudah memasuki fasa keempat pembinaannya sejak tahun 2020.

”Pada  2020 semasa fasa 1, sebanyak 104 RRP  telah dibina sebelum inisiatif itu diteruskan melibatkan 205 rumah pada 2021 (fasa 2A dan 2B).

“Sehingga Oktober 2023, pelaksanaan pembinaan RRP sedang berjalan dan 184 buah telah disiapkan untuk Fasa 3 manakala 86 unit lagi dijangka siap sepenuhnya penghujung Disember ini.

“Secara keseluruhan  475 RRP telah dan akan disiapkan bagi Fasa 2 dan 3,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawap soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Khairul Nizam Mohamad Zuldin pada Sidang Dun Pahang Ke-15  di Wisma Sri Pahang hari ini.

Menurutnya, RRP Fasa 4 telah dilancarkan 5 Oktober lalu dengan penambahan sebanyak lapan unit di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu unit di setiap Parlimen.

Tambahnya, setiap penerima RRP turut menerima sumbangan RM2,000 bagi pembelian perabot dan perkakasan rumah.

Jumlah keseluruhan RRP Fasa 4 sebanyak 450 buah termasuk  untuk masyarakat Orang Asli di negeri ini. – MalaysiaGazette