Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bergambar selepas menyaksikan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad (lima kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Cawangan 99 Speedmart, Yong Eng Kwang (kiri) menyerahkan mock cek kepada Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri, Datuk Rozian Abd Ghani (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia akan membuat penghantaran bantuan barangan ke Gaza untuk kali ketiga pada 18 Disember ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bantuan kali ketiga ini adalah paling banyak iaitu tiga kali ganda berbanding dua penghantaran sebelum ini.

“Kementerian Luar akan menghantar penerbangan ketiga pada jumlah muatan agak besar, 60 tan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh Wanita UMNO dan 99 Speedmart Sdn Bhd di Bangunan Putra, hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Terdahulu, Wanita UMNO menerusi Misi Bantuan Rakyat Palestin menyumbangkan RM621,954.60 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd turut menyumbang bantuan RM200,000.

Mengulas lanjut Zahid berkata, kerajaan memantau tabung bantuan yang disalurkan oleh kerajaan.

Beliau turut mengingatkan rakyat negara ini supaya menggunakan saluran yang betul dalam menyalurkan bantuan kepada Palestin. – MalaysiaGazette