Muhammad Khairul Ikhwan Muhammad Rashid

KUALA LUMPUR – Polis meminta orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Khairul Ikhwan Muhammad Rashid, 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak 26 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bagaimanapun polis menerima laporan kehilangannya pada 24 November lalu.

Menurutnya, kali terakhir dia berada di rumah beralamat No B10-11-07, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2, 46000 Petaling Jaya pada jam 1.30 tengah hari.

“Kanak-kanak lelaki ini berkulit sawo matang, berbadan kurus, berambut pendek serta pakaian terakhir adalah baju-T dan seluar trek berwarna hitam semasa keluar dari rumah,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi mangsa itu berada supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03- 79662222. – MalaysiaGazette