KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menawarkan 24,000 tempat pengajian secara tawaran terus ke program peringkat Diploma dan Sijil di Politeknik atau Kolej Komuniti terpilih, manakala 500 tempat lagi di lima buah program Pra Diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk para pemohon yang layak terutama dari
golongan B40 bersempena program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (SBKM).

Program yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Disember itu bertempat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu, para graduan dan pelajar daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berminat untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka turut dipelawa ke reruai KPT di SBKM untuk mengetahui mengenai pelbagai kursus peningkatan kerjaya yang akan ditawarkan melalui Program Global Outsourcing Talent bagi Pensijilan Kompetensi.

Para pengunjung terutamanya para murid dan lepasan sekolah yang ingin mendapatkan maklumat ke menara gading nanti ialah perkhidmatan konsultasi pendidikan tinggi melalui UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi.

“Genggam Ijazah Tanpa Ke Universiti” turut menjadi fokus KPT bagi menarik minat para pengunjung terutamanya yang sudah memiliki pengalaman kerja untuk mendapatkan maklumat dan konsultasi berkenaan Program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential
Learning – APEL) serta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kelolaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut membuka kaunter bagi memberi penerangan mengenai perkhidmatan dan produk pembiayaan pendidikan tinggi di samping menawarkan diskaun sehingga 15% kepada para peminjam yang ingin membuat bayaran balik.

KPT turut membawa pelbagai pameran yang memaparkan pencapaian inovasi dan penyelidikan sektor pendidikan tinggi negara ke reruai di SBKM nanti antaranya Padi Putra, STEM Gamification, dan pelbagai lagi.

Malah, KPT turut akan membawa dua buah bas kesihatan bergerak dari UiTM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk para pengunjung SBKM mendapatkan konsultasi dan rawatan secara percuma berkaitan mata dan juga pergigian daripada para pakar kesihatan yang bertugas.

Bertemakan “IPT Pemangkin Pembangunan Negara MADANI”, KPT berharap para pengunjung yang hadir akan mendapat manfaat serta maklumat yang berguna berkenaan sumbangan serta peranan yang dimainkan oleh kementerian dalam memperkasa dan mempersada sektor pendidikan tinggi negara melalui pelbagai pengisian dan aktiviti yang dipamerkan di reruai KPT (reruai No. 17) nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast