Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini akan mempunyai tiga sumber bekalan tenaga elektrik bagi memastikan gangguan bekalan elektrik di premis itu tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang mengenal pasti beberapa laluan punca bekalan elektrik bersesuaian di kompleks itu dan akan mengutarakan cadangan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Buat masa ini terdapat dua punca bekalan elektrik, iaitu satu laluan terus TNB dan tujuh set generator sebagai bekalan tambahan, namun kita merancang untuk menambah satu lagi Pencawang Pembahagian Utama (PPU) sebagai laluan terus kedua bekalan elektrik daripada TNB.

“Kerja-kerja itu (memasang laluan terus kedua) dijangka bermula tahun depan dan akan memakan masa kira-kira setahun untuk selesai dilaksana sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Beliau berkata ,apabila langkah itu siap sepenuhnya, CIQ BSI akan mempunyai tiga punca bekalan elektrik iaitu dua laluan terus dari TNB serta satu bekalan tambahan sendiri melalui tujuh set generator.

“Selepas ini apabila ada kerja-kerja penyelenggaraan, akan ada satu laluan terus alternatif daripada pencawang TNB dan sekiranya ada gangguan juga, akan ada ‘back up’ daripada tujuh set generator,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu hantaran di Facebook mengarahkan TNB dan Jabatan Kerja Raya menyelesaikan isu gangguan elektrik di bangunan berkenaan, yang turut menjejaskan JB Sentral.

Menerusi komen dalam hantaran Onn Hafiz itu, kebanyakan pengguna merungut dan kesal dengan kejadian gangguan bekalan elektrik, kerana terpaksa beratur panjang dan lama dalam kepanasan untuk mendapatkan perkhidmatan di bangunan berkenaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast