Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara (ASN) seperti yang diumumkan oleh Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

Kementeriannya berkata, Anugerah Seni Negara merupakan satu anugerah dan pengiktirafan tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada penggiat, karyawan dan seniman yang telah memperlihatkan ketokohan serta sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanah air.

Menurutnya, anugerah tersebut melibatkan lima bidang utama iaitu seni muzik, seni tari, seni lakon, seni kraf dan seni visual.

“Pelaksanaan semula ASN tahun 2024 adalah satu langkah dalam menzahirkan keprihatinan kerajaan Malaysia khasnya MOTAC untuk mengiktiraf jasa, sumbangan dan ketokohan penggiat seni yang turut memainkan peranan penting dalam pembentukan Masyarakat madani.

“Untuk rekod, ASN telah diadakan sebanyak lapan edisi iaitu bermula dari tahun 1993, 1995, 1997, 1999, 2002, 2004, 2006 dan kali terakhir penganjurannya adalah pada tahun 2009.

“Anugerah tertinggi melalui ASN ialah Anugerah Seniman Negara yang diberikan kepada seorang penerima tunggal pada setiap sesi pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu,  antara tokoh yang pernah menerima Anugerah Seniman Negara ialah Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin (Seni Lakon & Perfileman), Tan Sri Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab (Seni Muzik), Abdul Rahman Abu Bakar (Seni Teater Bangsawan), Datuk Syed Alwi Syed Hassan (Seni Teater) dan Khatijah Awang (Seni Makyung).

Tambah MOTAC, bagi edisi kali ini, bidang pencalonan anugerah terbuka kepada tiga kategori utama. Kategori pertama ialah Anugerah Seniman Negara yang diberikan kepada seorang penerima.

Manakala kategori kedua iaitu Anugerah Karyawan Seni Budaya yang merangkumi Anugerah Karyawan Seni Muzik, Anugerah Karyawan Seni Tari, Anugerah Karyawan Seni Lakon, Anugerah Karyawan Seni Kraf, dan Anugerah Karyawan Seni Visual diberikan kepada lima penerima. Kategori ketiga ialah Anugerah Tambahan melibatkan tiga penerima untuk Anugerah Pendukung Seni dari kalangan Media, Korporat dan NGO.

Sehubungan dengan itu, MOTAC mengalu-alukan pencalonan daripada penggiat industri, karyawan dan seniman dalam bidang seni muzik, tari, lakon, kraf dan visual untuk ASN itu.

MOTAC berkata, pemenang akan dianugerahkan dalam satu majlis berprestij khas yang akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 November 2024.

“Tokoh yang dianugerahkan dalam ASN 2024 bakal menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM60,000, sepersalinan pakaian kebangsaan, watikah penganugerahan, trofi, penerbitan berkaitan tokoh serta menjadi seniman tamu di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Pencalonan akan dibuka bermula 18 Disember 2023 (Isnin) sehingga 18 Februari 2024,” ujarnya. – MalaysiaGazette