Shahidan Syed Saddiq hijrah UMNO kuat veteran pengampunan BN PH PRN
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO memecat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak dalam parti.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan itu diambil demi kelangsungan UMNO dan tiada individu yang sepatutnya menganggap dirinya lebih penting daripada parti.

“MKT hanya alat untuk mentadbir parti. Jangan sesekali terasa besar dan tinggi kerana menjadi MKT kerana penjawat hanya alat kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan mesyuarat MKT UMNO malam kelmarin yang memecat Isham secara serta-merta.

Isham yang tidak hadir mesyuarat tersebut sebelum ini lantang bersuara mengkritik kepimpinan UMNO secara terbuka termasuk keputusan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya.

Mustapha menambah, Veteran UMNO telah berulang kali mengingatkan pucuk pimpinan parti khususnya ahli-ahli MKT agar tidak menggunakan media bagi melahirkan perasaan tidak puas hati sesama mereka.

Menurut beliau, selaku ahli MKT, mereka terikat dengan sumpah kerahsiaan dan mesyuarat MKT adalah tempat terbaik untuk berhujah dan bertengkar.

“Mereka boleh bertumbuk kalau mahu. Tapi bukan cabar mencabar di luar gelanggang.

“Malangnya teguran Veteran UMNO tidak dipedulikan. Mereka degil. Mereka rasa mereka pandai dan bijak kerana mereka MKT,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Mustapha berpandangan, keputusan memecat Isham yang dianggap perkara biasa dalam demokrasi politik itu ada pro dan kontranya.

“Bagi penyokong orang yang dipecat mereka akan marahkan pucuk pimpinan parti. Bagi pembenci pucuk pimpinan mereka akan menggunakan peluang ini untuk membalun dan menyebar kebencian,” katanya.

Namun, beliau berkata, mereka yang memahami peraturan serta perlembagaan parti tetap menyokong tindakan itu. – MalaysiaGazette