Syed Ibrahim Syed Ahmad (kiri) Sabariah Saidan (kanan)

KUANTAN – Belanjawan Pahang 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disifatkan menyeluruh termasuk menjulang kesucian institusi Islam di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata peruntukan berjumlah RM147, 283,712 kepada badan agama Islam di negeri itu merupakan peruntukan kedua terbesar selepas Pejabat Kewangan Negeri Pahang.

“Peruntukan itu termasuk untuk Jabatan Agama Islam Pahang sebanyak  RM132,103,474; Jabatan Mufti Negeri Pahang, (RM3,724,157); Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang (RM2,435,285) dan Mahkamah Syariah Negeri Pahang (RM9.020,796).

”Selain itu jemaah bakal haji Pahang menerima kenaikan bantuan daripada RM500 ke RM750 Seorang diangarkan seramai 2000 penerima berjumlah RM1.5 juta.

”Mualaf pula akan menerima RM200 melibatkan 5000 penerima berjumlah RM1juta. Insentif perkahwinan kali pertama kepada 10 ribu pasangan pengantin berjumlah RM3 juta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, belanjawan tahun depan membuktikan kerajaan negeri sentiasa memperjuang kebajikan rakyat.

Tambahnya, penubuhan Tabung Prihatin mampu membantu ketika bencana melanda.

”Peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Tabung Prihatin Pahang pada tahun 2024 sebagai satu tabung kepada golongan kumpulan B40 yang memerlukan bantuan yang bersesuaian untuk meneruskan kelangsungan hidup serta untuk membiayai penyakit kronik,” katanya. – MalayisaGazette