SUNGAI PETANI – Dua lelaki ditahan bersama 1,190 kilogram (kg) daun ketum di Kilometer 80 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk ke hentian rehat dan rawat (RnR) Gurun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan Batalion 1 Kompeni D Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam dalam operasi pukul 9.30 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berperanan sebagai runner dengan menerima upah RM1,000 setiap seorang bagi menghantar bekalan daun ketum dari daerah Padang Terap ke kawasan barat Semenanjung Malaysia.
“Mereka juga dikatakan terlibat dalam kegiatan pengedaran daun ketum sejak Disember tahun ini.
“Dalam operasi tersebut, kita merampas 170 bakul plastik yang mengandungi bungkusan-bungkusan plastik jernih yang setiap satu mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan bernilai RM23,800,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut dirampas sebuah lori jenis Isuzu dianggarkan bernilai RM85,000.
Menurut Zaidy, semakan lanjut juga mendapati suspek berusia 35 tahun mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua dua suspek didapati bebas daripada pengaruh dadah.
“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 11 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – MalaysiaGazette