KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan atau FLYsiswa kerana mahu mahu pelajar fokus pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia kerana tujuan utama golongan itu memasuki IPT adalah untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan bukan berdepan isu-isu lain.
“Zaman kami dulu nak balik kena tidur lapangan terbang sebab tidak mampu bayar tiket penuh, beli student pass, kena standby ada kerusi kosong baru boleh balik.
“Kadangkala tidur dua malam di lapangan terbang dan tidak mahu keadaan itu dilalui oleh anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Inisiatif FLYsiswa dipersetujui Jemaah Menteri pada 12 Julai dan mula dilaksanakan pada 15 Ogos melalui kaedah pemberian baucar digital bernilal RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pelaksanaan FLYsiswa mendapat kerjasama syarikat-syarikat penerbangan utama negara seperti Malaysia Airlines Berhad, Air Asia dan Batik Air.
Satu portal khas diwujudkan untuk memudahcara penempahan tiket menggunakan baucar FLYsiswa secara atas talian yang boleh diakses di laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my.
Mengulas lanjut, Fadillah berharap golongan pelajar hari ini yang mendapat pelbagai kemudahan daripada kerjaaan lebih berdaya tahan bagi menghadapi kepayahan dan cabaran dalam kehidupan di kampus.
Jelas beliau, ia penting bagi memastikan generasi muda mampu dan boleh bersaing selepas tamat pengajian dan menceburi alam pekerjaan. – MalaysiaGazette