GAZA CITY – Rejim Israel meneruskan serangan ke atas Gaza dalam tempoh 24 jam lalu dengan 350 penduduk Palestin maut.
Menurut Al Jazeera, lebih banyak serangan udara sedang berlaku dengan tentera Israel menempatkan semula kereta kebal dan kenderaan berperisainya di bahagian Shujaiya.
Bahagian timur dan selatan Kota Gaza juga mengalami serangan udara daripada rejim Zionist.
“Tentera Israel hanya mengeluarkan kenyataan mengatakan ia telah menyasarkan 450 sasaran di Semenanjung Gaza, apa yang kita lihat sasaran tersebut adalah rumah kediaman.
“Apa yang kita lihat pada minggu lalu, semalaman dan pada awal pagi ini, semakin banyak rumah kediaman menjadi sasaran di seluruh Semenanjung Gaza, selain kemudahan awam seperti sekolah, hospital, klinik, kedai dan pasar dimusnahkan sepenuhnya,” lapor wartawan Al Jazeera.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, enam orang terbunuh dalam serbuan maut Israel di kem pelarian Far’a di Tebing Barat.
Saksi memberitahu agensi berita Wafa bahawa askar Israel menghalang ambulans daripada menyelamatkan orang yang cedera.
Seorang wartawan dengan agensi berita itu berkata, tentera Israel menyusup ke kem pada awal pagi dengan penembak tepat mengambil kedudukan di atas bumbung beberapa bangunan.
Angka kematian berikutan serangan berterusan Israel kini melebih angka 17,000 orang. – Agensi