Fahmi Fadzil Suara Anak Madani
Fahmi Fadzil (kiri) bersama Azalina Othman Said (tengah) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam episod sulung Suara Anak Madani yang disiarkan melalui YouTube, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pengguna media sosial termasuk WhatsApp boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati berkongsi kenyataan berunsur fitnah yang diterima daripada pihak lain.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, peringatan itu diberikan berdasarkan keputusan mahkamah baru-baru ini yang menyatakan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan seperti saman.

“Kalau kita forward kenyataan yang orang forward kepada kita, benda yang fitnah benda yang salah dan kita pula forward kepada orang, sebenarnya kita forward tu pun boleh jadi satu kesalahan.

“Jadi hati-hatilah guna WhatsApp ni,” katanya dalam episod sulung Suara Anak Madani yang disiarkan menerusi YouTube malam tadi.

Program temu bual yang dikendalikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, Fahmi memberitahu, pelaksanaan inisiatif MyDigital ID akan menjimatkan perbelanjaan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Menurut beliau, ketika ini, setiap kementerian membelanjakan antara RM2 juta ke RM3 juta untuk modul Electronic Know-Your-Customer (eKYC).

“Jadi kenapa kita nak belanja RM2 juta ke RM3 juta untuk setiap kementerian buat perkara yang sama padahal dengan data yang ada, internet yang baik kita selaraskan agar lebih mampan, menjimatkan, efisien dan produktif,” jelasnya.

Fahmi berkata, inisiatif MyDigital ID juga adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua kementerian mengelakkan pembaziran. – MalaysiaGazette