Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Hamid meninjau kawasan kanak-kanak autistik, Zyn Rayyan Abdul Matiin di sebatang anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai pagi tadi.

PETALING JAYA – Lokasi penemuan jasad kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin di sekitar anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai ditutup kepada orang awam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Hamid berkata, ia bagi memastikan urusan siasatan dapat dibuat secara terperinci.

“Kita tutup kawasan ini kepada orang awam bagi pihak polis mencari bukti lanjut. Kita akan sentiasa berulang ke kawasan ini untuk bantu siasatan dengan keterlibatan pelbagai jabatan lain,” katanya ketika ditemui selepas memantau kawasan kes di sini pagi tadi.

Fakhrudin berkata, pihaknya juga kini giat mendapatkan beberapa bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya ada di kawasan berdekatan.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan tampil ke balai berhampiran bagi melancarkan urusan polis mencari pembunuh terbabit.

Semalam, polis tidak menolak kemungkinan Zayn Rayyan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak berhampiran sebatang anak sungai sekitar kawasan kediamannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya gagal menemukan jasad mangsa sebelum itu walaupun lokasi berkenaan telah dilalui oleh polis semasa melakukan pencarian. – 

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada Rabu ketika mengekori ibunya naik ke tingkat tiga kediaman mereka di Pangsapuri Idaman. Polis pada mulanya mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kematian mengejut, bagaimanapun penemuan terbaharu mendapati ada kesan melawan di lehernya.

Polis kemudian mengklasifikasikan semula kes tersebut sebagai bunuh dan sedang mengumpulkan bukti serta merakam keterangan saksi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: