Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz beramah mesra bersama pengunjung selepas Pelancaran Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCAS) sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan sebanyak RM225 bilion pelaburan di dalam negara setakat sembilan bulan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemasukan pelaburan itu menunjukkan keyakinan pelabur khususnya domestik.

“Yang penting keyakinan pelabur domestik, dari jumlah itu, lebih kurang 45 peratus adalah pelabur-pelabur domestik. Ini menunjukan keyakinan rakyat, syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur di dalam negara kita.

“Biasanya kita dapat lihat keyakinan itu tidak lah setinggi yang dapat dilihat sekarang,” katanya kepada pemberita sempena Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani, di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata, ini kerana limpahan ekonomi  menunjukkan para pelabur yang masuk akan memberikan impak positif untuk syarikat-syarikat tempatan.

Sementara itu, trend Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini menunjukkan peningkatan sehingga 6.6 peratus.

“Kita kena pastikan banyak lagi aspek perlu diperbaiki dan kita fokus pada 2024. Kita akan duduk dengan lementerian lain untuk memastikan supaya apa yang telah diluluskan itu mesti direalisasikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette