Allaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang disyaki diabaikan dalam kejadian di  Cheras pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pasangan suami isteri berusia 30-an itu ditahan pada Rabu lalu di kediaman mereka.

“Perkembangan terbaharu kematian kanak-kanak itu kita telah membuat tangkapan terhadap ibu bapa mangsa pada 6 Disember lepas.

“Pasangan muda itu kini direman seminggu bermula semalam  di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Siasatan sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat kes ini di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan pengabaian kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail di sini hari ini.

Turut bersama Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dan ketua-ketua polis daerah dan Ketua JPJKK Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Tambah Allaudeen, mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik masing-masing tiga dan tujuh tahun.

“Sementara ibu bapa mangsa masih direman bantu siasatan, dua anaknya yang masih sihat dan normal itu kini ditempatkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

““Difahamkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun berkenaan (mangsa) dilahirkan pramatang yang menyebabkan dia mengalami beberapa masalah kesihatan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dalam kenyataan 4 Disember lalu melaporkan punca kematian kanak-kanak perempuan itu disebabkan kekurangan nutrisi.

“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika bapanya meninggalkan kanak-kanak perempuan itu yang sedang tidur dalam bilik untuk membeli makanan pukul 11.30 pagi pada 2 Disember lalu.

“Ketika pulang pukul 2.30 petang, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bermaya sebelum bapanya panik dan berkejar ke Hospital Tunku Azizah untuk mendapatkan rawatan segera.

“Bagaimanapun pegawai perubatan yang memeriksa mangsa mengesahkan kanak-kanak malang itu sudah meninggal dunia dan disyaki terdapat unsur penderaan serta pengabaian oleh penjaga,” tegasnya. – MalaysiaGazette