KUANTAN – Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) merupakan langkah proaktif bagi mengatasi kekurangan beras di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, strategi meningkatkan pengeluaran padi dilakukan di kawasan jelapang di Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan dan Rompin.
“Perancangan untuk jangka panjang, kerajaan negeri akan berusaha membangunkan tanah sawah terbiar yang ekonomik untuk dimajukan khususnya aspek pengairan dan saliran.
“Pembangunan paya atau tanah terbiar untuk tanaman padi memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan jadi Jabatan Pertanian diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan di luar jelapang.
“Manakala IADA memberi fokus kepada kawasan dalam jelapang,” katanya.
Mohd Soffi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hassan Omar (PN- Lancang) pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Tambah Mohd Soffi, projek berskala besar di bawah program terbabit akan melibatkan syarikat peneraju Jabatan Pertanian.
Katanya, kini IADA Rompin bersama Pejabat Daerah dan Tanah Rompin mempergiat usaha mencari kawasan baru bagi tanaman padi di daerah itu. – MalaysiaGazette