Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang telah melakukan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri secara menyeluruh telah sejak 5 September 2018 lagi.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya bersetuju melakukan perbincangan tawaran Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan menterinya pada ketika itu, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau menyangkal dakwaan usaha tersebut dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di mana Timbalan Presiden Pas itu masih belum menjawat Menteri Alam Sekitar dan Air pada ketika itu.

”Kerajaan negeri ketika itu telah menubuhkan satu pasukan task force bagi merunding dan menguruskan langkah-langkah penstrukturan.

”Kemudiannya, pada 29 September 2019, hapus kira hutang Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang diluluskan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah dimuktamadkan.

”Dan pada 30 Mac 2020 iaitu ketika ADUN Cheka baru sahaja menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air, semua draf perjanjian dikemaskini dan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat ke-3 Penggal ke-2 Dewan undangan Negeri Pahang ke -15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

Berdasarkan terma-terma utama yang telah dipersetujuan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang termasuk juga jumlah yang setuju dihapuskira dan diinovasikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.074 bilion.

Selepas itu, pada 23 Disember 2020, barulah Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air di Negeri Pahang diadakan.

”Apa yang ingin saya jelaskan di sini usaha-usaha Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air di Negeri Pahang telah dimulakan sebelum Yang Berhormat Cheka menjadi menteri lagi.

”Jadinya, ADUN Cheka tidak boleh katakan bahawa Yang Berhormat Cheka yang telah berusaha selama ini untuk menghapuskan hutang ini kerana usaha-usahanya telah digerakkan oleh kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan lebih awal lagi.

”Malah saya tidak nafikan perjanjian penstrukturan air ini telah dilaksanakan sewaktu Yang Berhormat Cheka menjadi menteri dan saya rasa semua orang tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast