Berpuluh lelaki Palestin telah ditahan oleh Israel.

GAZA CITY – Seorang wartawan Palestin terkenal, Diaa al-Kahlout yang bertugas di al-Araby al-Jadeed telah dikenal pasti antara berpuluh lelaki yang ditahan oleh rejim Israel.

Gambar dan video beliau bersama berpuluh-puluh lelaki Palestin duduk berbaris di atas jalan dan kelihatan hanya memakai seluar dalam sambil dikawal oleh askar Israel tular di media sosial.

Saluran berita bahasa Arab, yang juga menerbitkan bahan dalam bahasa Inggeris di bawah nama New Arab berkata, al-Kahlout telah ditangkap bersama saudara-saudaranya, saudara-mara dan “orang awam lain” di Beit Lahia.

Akhbar tersebut mengutuk apa yang disifatkannya sebagai penahanan yang “menghinakan” terhadap al-Kahlout.

Diaa al-Kahlout

Laporan itu menyebut askar Isreal memaksa kumpulan lelaki menanggalkan pakaian mereka dan melakukan pemeriksaan yang invasif dan layanan yang memalukan apabila mereka ditangkap, sebelum membawa mereka ke lokasi yang tidak didedahkan”.

Akhbar itu mengesa masyarakat antarabangsa, pembela dan pemerhati hak wartawan, dan badan hak asasi manusia untuk mengecam serangan berterusan oleh Israel ke atas wartawan di wilayah itu.

Sementara itu BBC melaporkan, jurucakap Daniel Hagari berkata, pada hari Khamis bahawa askar IDF dan pegawai Shin Bet telah menahan dan menyoal siasat ratusan ‘suspek pengganas’.

“Ramai daripada mereka juga menyerahkan diri kepada pasukan kami dalam tempoh 24 jam yang lalu. Risikan yang keluar daripada soal siasat mereka digunakan untuk meneruskan pertempuran,” kata beliau. – Agensi