Leong Yu Man (kiri) Sim Chon Siang.

KUANTAN – ”Belanjawan Pahang 2024 tak kira bangsa. Betul orang kata tak kenal maka tak cinta”.

Itu reaksi Exco Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Pahang,  Sim Chon Siang  mengenai Belanjawan Pahang baru-baru ini.

”Setahun bersama Kerajaan Perpaduan di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismai, saya tak rasa seperti anak tiri walaupun hanya dua orang Exco berbangsa Cina dari Pakatan Harapan (PH).

”Tengok dia (Wan Rosdy) memang tak kira bangsa atau agama tetapi kepada semua rakyat, saya rasa bajet ini terbaik bagi menjaga rakyat. Untuk peruntukan portfolio exco kami akan gunakan bajet ini sebaiknya kepada rakyat.

”Dia jaga rakyat tidak kira fahaman politik, keseluruhannya janji demi keuntungan kepada rakyat. Kalau mohon apa-dia akan berikan tanpa kira bangsa siapa pun, memang dasar perpaduan,” kata wakil rakyat PKR itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu  mengakui kepimpinan pasukan Exco kerajaan negeri Pahang berada di landasan tepat memikul amanah rakyat.

Perkara tersebut turut diperakui oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man yang bersyukur melihat kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha memajukan sektor pelancongan selain meningkatkan perpaduan antara kaum.

”Untuk bajet saya bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang atas peruntukan bagi sektor pelancongan dan perpaduan kali ini.

”Tahun 2026 Tahun Melawat Malaysia,  jadi kita bukan sahaja bersiap sedia dari segi infrastruktur, melebihkan acara dan eratkan hubungan dan bergabung tenaga bagi berkongsi maklumat bersama pemain industri juga untuk merancakkan sektor pelancongan.

”Manakala untuk perpaduan dapat dana belajawan akan digunakan kepada fokus mengeratkan pemahaman antara kaum melalui silang budaya, cenderung melibatkan masyarakat akar umbi menerusi program berskala kecil,” katanya ADUN Triang mewakili DAP. – MalaysiaGazette