Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan ke tapak pameran program Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ekoran sistem dan pangkalan maklumat dan laman sesawangnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diserang penggodam – kerajaan akan memperkukuhkan keselamatan sibernya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa depan.

“Kita sekarang memperkukuhkan keselamatan siber dan ada juga keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menjalin kerjasama dengan syarikat yang mempunyai keupayaan mengekang serangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan walkabout di tapak program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Semalam, PERKESO mengesahkan sistem pangkalan maklumat dan laman sesawangnya diserang penggodam sejak Sabtu lalu.

Serentak itu, PERKESO mengaktifkan pelan pengurusan krisis pada hari sama dengan unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.

PERKESO dalam kenyataan berkata, siasatan awal mendapati modus operandi serangan siber itu bertujuan melumpuhkan semua infrastruktur digunakan PERKESO bagi operasi harian. – MalaysiaGazette