Wan Nazmy Wan Mahmood.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menjamin penyaluran bekalan ke semua pintu masuk di Semenanjung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi kestabilan pembekalan kawasan strategik melibatkan perkhidmatan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) negara.

Pemeriksaan berkala dan pembaikan segera sebaik mengesan sebarang kejanggalan adalah langkah penting dalam SOP penyelenggaran setiap pepasangan TNB sebelum bekalan disampaikan kepada premis pintu masuk yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan disenggara Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood menjelaskan, sebarang kerja selenggaraan melibatkan pembekalan tenaga ke premis pintu masuk terlibat perlu mendapat kebenaran pihak KDN dan JKR.

“Tanggungjawab TNB adalah memberi bekalan sehingga stesen suis pihak pengguna yang mana kemudiannya pengguna akan mengagihkan bekalan tersebut melalui pencawang dalaman mereka.

“Pembekalan sehingga ke premis pengguna akan disemak oleh TNB menggunakan CBM (Condition Based Monitoring) setiap enam bulan, selain senggaraan berjadual setiap 18, 24 atau 36 bulan bergantung kepada jenis alat suis pada pepasangan TNB.

“SOP penyelenggaran turut melibatkan TNB menawarkan set janakuasa bergeraknya kepada pemilik dan penyenggara premis CIQ. Namun ada kalanya TNB tidak dibenarkan menyediakan bekalan elektrik sementara menerusi set janakuasa bergeraknya seperti yang berlaku di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru berikutan masalah had ketinggian untuk memasuki kawasan bangunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan demikian sebagai pencerahan mengenai tanggungjawab TNB dan pihak pemilik bangunan CIQ di pintu-pintu masuk di Semenanjung Malaysia termasuk CIQ BSI, Johor Bahru.

Selasa lalu, TNB menutup bekalan ke BSI untuk melaksanakan henti tugas bernotis dengan kebenaran pengguna iaitu KDN dan JKR bagi kerja-kerja senggaraan berjadual mulai 8 malam sehingga awal pagi keesokannya.

Sepanjang tempoh itu, bekalan sementara bergantung kepada tujuh buah gen set milik BSI sendiri yang diselenggara oleh JKR dan berlaku gangguan bekalan apabila satu daripada set janakuasa berkenaan tidak berfungsi.

Wan Nazmy berkata, pihaknya kesal dengan ketidakselesaan yang dihadapi pengguna semasa gangguan bekalan di CIQ berkenaan.

Justeru, sebagai langkah ke hadapan ketika kerja selenggaraan di CIQ BSI, katanya, TNB mengenalpasti dua sumber alternatif bagi membekalkan tenaga elektrik ke kompleks tersebut.

“Perkara ini sedang diperhalusi bersama Kerajaan Negeri Johor yang telah menjelaskan bahawa gangguan bekalan elektrik sementara pada hari kejadian bukan berpunca daripada TNB.

“TNB kekal komited memastikan bekalan elektrik kekal stabil, berdaya harap dan selamat di semua premis pintu masuk di Semenanjung demi memastikan kelancaran proses imigresen dan kawalan keselamatan di pintu sempadan negara.

“TNB akan terus bekerjasama erat bersama Agensi-Agensi Kerajaan Pusat dan Negeri Johor bagi menzahirkan solusi bekalan elektrik yang berterusan untuk jangka masa panjang di Kompleks CIQ tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette