Foto: UUM

ALOR SETAR – Seorang pelajar program Doktor Falsafah (PHD) Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Palestin meninggal dunia dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, beberapa hari lepas.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan dalam kenyataan di sini memaklumkan kematian pelajar lelaki berusia 38 tahun itu, yang dikenali sebagai Esam M. M Elkahlout, disahkan hari ini.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan dan saya ingin mengajak semua warga UUM dan rakyat negara ini untuk terus berdoa agar peperangan di Palestin dapat dinoktahkan segera.

“Seluruh dunia wajar memberi peluang kepada penduduk Palestin untuk meneruskan pendidikan mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, UUM akan terus membantu warga Palestin yang melanjutkan pengajian di universiti itu dengan menawarkan kadar yuran yang sama dengan pelajar dari negara ini selain menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka.

Menerusi kenyataan sama, Timbalan Dekan yang menjalankan fungsi Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM Profesor Dr Harlida Abdul Wahab berkata, pihaknya mendapat perkhabaran mengenai perkara itu hari ini dan sedang menunggu maklumat lanjut berkaitan pelajar tersebut. – Bernama