Gambar hiasan

KEPALA BATAS – Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang bertindak melanggar dan mengugut seorang penunggang motosikal lelaki dalam kejadian di sebuah stesen minyak di kawasan Tasek Gelugor, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan oleh polis mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa menegur seorang lelaki yang memandu kereta kerana suspek memotong kenderaan tanpa memberi isyarat lampu sisi dan tindakan tersebut berbahaya.

“Pemandu kereta itu yang tidak berpuas hati telah bertindak melanggar motosikal dan penunggang motosikal itu dengan keretanya, ekoran kejadian tersebut mangsa (penunggang motosikal) membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian yang turut tular di media sosial itu jelas merupakan jenayah dan siasatan dijalankan di bawah bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu boleh menghubungi mana-mana balai polis atau pegawai penyiasat Insp Lee Howe Chong di talian 016- 598 9576.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 27 saat memaparkan seorang penunggang motosikal diugut dan dilanggar oleh seorang pemandu kereta Proton Wira sehingga mengalami kecederaan kaki kanan dan motosikalnya rosak.

Pemandu itu dilihat keluar daripada kenderaannya dengan memegang sebatang besi namun sebaik mangsa memberitahu dia merakam video, suspek terus masuk semula ke dalam kereta.- BERNAMA