Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan ke tapak pameran program Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan kejayaan program Karnival Setahun Kerajaan MADANI di peringkat negeri, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan selepas melihat kepada minat masyarakat terhadap penganjuran karnival tersebut.

“Kita mungkin menimbangkan dalam mesyuarat jemaah menteri minggu depan sama ada kita boleh pindahkan kegiatan pameran seperti ini supaya memberikan pencerahan kepada rakyat di setiap negeri,” katanya selepas mengadakan walkabout di tapak program Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Beliau mengambil masa kira-kira dua jam meninjau karnival tersebut sambil ditemani Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Program berlangsung selama tiga hari hingga esok itu bertujuan menyebar luas dan mempromosi dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentabiran negara pada 24 November 2022.

Penganjuran program yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touch point rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat. – MalaysiaGazette