PETALING JAYA – Empat anjing pengesan (K9) dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA digerakkan ke lokasi mayat kanak-kanak Autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui, pada hari keempat, hari ini.

Anggota polis yang membawa dua ekor anjing pengesan bernama Ricks dan Gucci dilihat masuk ke kawasan kejadian kira-kira jam 10.25 pagi bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak istimewa tersebut.

Siasatan yang masuk hari keempat dimulakan dengan membawa masuk dua anjing pengesan di sebuah bangunan bersebelahan Apartmen Idaman di Blok R.

Selepas kira-kira 30 minit, kedua-dua anjing pengesan itu berpecah kepada dua kumpulan sebelum dibawa ke dua blok berdekatan dari pintu ke pintu kediaman penduduk di situ.

Sebelum ini, khidmat Unit Anjing Pengesan telah digunakan bagi membantu mencari Zayn Rayyan di kawasan sekitar Apartment Idaman sebaik kanak-kanak istimewa berusia enam tahun itu dilaporkan hilang.

Bagaimanapun penggunaan anjing pengesan tersebut gagal membantu mencari Zayn Rayyan.

Sebelum ini, mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Indah.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.- MalaysiaGazette