Tun Ahmad Fuzi (kanan) mengetuai jejak langkah ke Pulau Silicon bersama Kon Yeow di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

BATU MAUNG – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyenaraikan Pulau Pinang pada kedudukan kedua terbaik dengan merekodkan pelaburan ketara berjumlah RM44.9 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika berucap pada Majlis Jejak Langkah ke Silicon Island di Dewan Komuniti Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu di sini, hari ini.

“MIDA pada 6 Disember lalu memaklumkan Pulau Pinang mencatatkan nilai pelaburan yang signifikan apabila berada pada kedudukan kedua selepas Kuala Lumpur (RM48.9 bilion).

“Kita juga mengharapkan projek Silicon Island ini akan mengulangi kejayaan kawasan perindustrian bebas (FIZ) Bayan Lepas.

Setakat ini pulau itu sudah ditambak seluas lima ekar persegi. – Gambar ihsan CKY

“Menerusi pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi, ‘Green Tech Park’ (GTP); hab perkhidmatan perniagaan global atau GBS Campus; pembangunan komersial; perumahan serta kawasan rekreasi hijau, Silicon Island dijangka bakal menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion, pelaburan sebanyak RM74.6 bilion serta mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak mengetuai majlis jejak langkah ke Silicon Island.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rosli Isa; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus.

Tambah Kon Yeow, pihaknya optimis bahawa ekosistem pelaburan negeri akan lebih berdaya saing selepas Silicon Island berjaya direalisasikan kelak.

“Bermula 1 September sehingga kini, pulau itu sudah ditambak seluas lima ekar persegi dan ia juga merupakan bukti awal kejayaan pelaksanaan projek berkaitan,” katanya.

Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang kini dikenali sebagai Pulau Silikon berkeluasan 930.77 hektar dijangka siap ditambak sepenuhnya pada 2032. – MalaysiaGazette