Anthony Loke Siew Fook

KLUANG – Pelaksanaan kemudahan pengangkutan awam seperti projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini perlu mengambil kira pelbagai faktor terutamanya dari segi kewangan negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan, tidak mempunyai masalah untuk menyokong pembangunan infrastruktur di negeri ini, namun perkara berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“… semua ini memang kita tak ada masalah untuk kita menyokong, cuma dari segi pelaksanaannya ia bukannya begitu mudah. Ia akan mengambil kira pelbagai faktor antaranya faktor kewangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 pada 23 Nov lepas yang berharap projek HSR dan LRT dilaksanakan segera bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan terutama dalam menjadikan Johor destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Mengenai perkembangan terkini HSR, Loke berkata kementeriannya sedang melaksanakan permintaan untuk maklumat (RFI) bagi melihat cadangan daripada pihak swasta berkaitan pelaksanaan projek itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast