PETALING JAYA – Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin gemar bermain berdekatan dengan lukisan mural di dinding berdekatan kediamannya.
Datuk kepada Zayn Rayyan, Muhd Zahari Mohd Reba berkata, cucu pertama itu akan bermain di kawasan itu selepas balik dari sekolah.
“Rutin harian dia pergi sekolah dengan mak dia, balik mak dia ambil, dia main dekat situ (dekat tangga) sampai tingkat 2, ada ukiran, memang dia minta itu.
“Hari kejadian mak dia nak cepat, dia mengamuk sebab bagi masa sekejap (bermain),” katanya kepada pemberita di pekarangan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhd Zahari bersama isterinya yang juga nenek kepada Zayn Rayyan kelihatan datang ke kediaman kanak-kanak Autism itu, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Sebelum ini, mayat Zayn Rayyan itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.
Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Idaman.
Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.
Dalam pada itu, Muhd Zahari tidak menafikan pemergian Zayn Rayyan sangat dirasai apatah lagi dia dan cucunya selalu melalukan aktiviti bersama.
“Setiap minggu saya akan pastikan cucu saya datang rumah saya, pergi piknik pergi bercuti, dia suka main air pergi tempat air atau sungai.
“Memang rapat, mana-mana aktiviti memang dia ada, pergi hiking ke pergi bercuti ke.
“Kalau dia tak ada, seminggu saya rasa rindu, saya terlalu rapat dengan dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
-TAMAT-