Keadaan sekitar Apartmen Idaman di Damansara Damai.

PETALING JAYA – Penduduk Apartmen Idaman, Damansara Damai mahu penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) diperluaskan demi jaminan keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak susulan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dibunuh.

Lantaran itu, mereka menyarankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) campur tangan supaya isu keselamatan kawasan ini diberi perhatian sewajarnya.

Menurut penduduk, kematian Zayn Rayyan mendedahkan kawalan keselamatan kawasan perumahan ini masih lemah dan wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan terutamanya dari segi pengawalan keluar masuk.

Ridhuan Jamaluddin

Seorang penduduk pangsapuri Blok S, Mohd Ridhuan Jamaluddin,46, berkata, sejak kejadian pembunuhan itu, kawasan persekitaran di apartmen semakin sepi daripada keriuhan kanak-kanak bermain di taman permainan.

Dia yang sudah lebih 20 tahun menetap di situ menambah, kebimbangan penduduk berasas kerana terdapat banyak laluan tikus dikesan di kawasan ini.

“Sepatutnya, perkara ini dibuat dari dulu lagi. Kawasan ini sudah diduduki 10 tahun, CCTV perlu ditempatkan di sekitarnya.

“Penempatan di sini diuruskan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB). Jadi kita mahu aspek keselamatan diambil peduli, sewajarnya sebelum kejadian ini berlaku,” katanya.

Mohd Amir Hussein

Pandangan sama turut dikemukakan oleh penduduk Blok D, Mohd Amir Hussin, 50, berkata, pemasangan CCTV pada masa ini amat penting dan perlu diperluaskan di rumah masing-masing demi keselamatan anak-anak.

“Ada rumah yang ada pasang CCTV, ada yang tidak. Mungkin selepas ini kena fikirkan semula. Selain itu, pada saya rondaan polis juga perlu dipertimbangkan,” ujarnya.

Mohd Amir percaya, penduduk di sini akan bekerjasama untuk mengeluarkan sedikit wang untuk pemasangan CCTV demi keselamatan masing-masing.

Mohammad Hafizan Shafizie Adnan

Sementara itu, Mohammad Hafizan Shafizie Adnan, 36, mengakui dia kebimbangan memikirkan keselamatan anak-anaknya untuk bermain di luar rumah selepas kes melibatkan Zayn Rayyan.

Apatah lagi, dia sendiri tidak mempunyai masa untuk kerap memantau pergerakan anak-anaknya.

Justeru, dia mahu JMB segera memasang CCTV.

“CCTV amat penting sekarang ini sebab kita bergantung kepada CCTV kalau hendak buat rujukan. Kalau berbaloi dengan apa yang kita dapat, tak ada masalah pun untuk bersama-sama membuat kutipan demi keselamatan penduduk,” tambahnya.

Salina Yusof

Bagi Salina Yusof, 44, pemasangan CCTV sekarang ini satu keperluan untuk mengawal keselamatan anaknya yang sering kali bermain di luar.

Dia yang sudah menetap di Blok C lebih 10 tahun di sini berpandangan tahap kawalan keselamatan setakat ini tidak cukup kerana sesiapapun boleh keluar masuk ke kawasan kediaman tersebut.

“Macam saya pasang sendiri CCTV sebab anak suka main luar rumah. Selepas kes seperti ini, saya risau dan tidak berani lepaskan anak berseorangan.

“Kawasan sini sunyi, tiada kemeriahan dah,” katanya yang memberitahu bloknya mempunyai CCTV dan penduduk menanggung kos penyelenggaraan sebanyak RM5 seorang.

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawasan penempatan ini mempunyai banyak ‘laluan tikus’.

Ini bermakna kawalan keselamatan di kawasan perumahan ini sukar dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast