KUALA LUMPUR – Keadaan hujan dan ribut petir diramal melanda kebanyakan negeri di seluruh negara bermula hari ini sehingga Rabu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi ramalan cuacanya yang dikongsi dilaman X rasminya hari ini menunjukkan hujan dijangka pada satu dua tempat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah sebelah pagi.
Pada sebelah petang hari ini, ribut petir diramal pada satu dua tempat di ibu kota dan Putrajaya selain di Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Keadaan cuaca seperti itu diramal berlanjutan sehingga ke sebelah malam.
Pada esok, cuaca pada sebelah pagi di beberapa negeri diramal hujan merangkumi beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Johor selain Sandakan dan Kudat di Sabah.
Bagaimanapun, cuaca sebelah petang diramal akan dilanda ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Selangor, ibu kota, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, Melaka serta Sabah dan Sarawak.
MetMalaysia meramalkan ribut petir akan berlarutan di beberapa negeri iaitu Pahang dan Sarawak (Kuching dan Samarahan).
Untuk Rabu ini, pada sebelah pagi, hujan diramal berlaku di beberapa tempat di Pahang selain Sandakan dan Kudat di Sabah. Selain itu, ribut petir diramal juga di beberapa kawasan di Sarawak.
Pada sebelah petang pula, hujan dan ribut petir diramal di kebanyakan negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
Hujan diramal berlarutan sehingga malam membabitkan kebanyakan negeri. – MalaysiaGazette