Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kaum lain janganlah terlalu bersangka buruk setiap kali cerdik pandai Melayu berhimpun dan bermuhasabah demi bangsanya, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ia sama seperti mana orang Melayu tidak pernah bersangka buruk dan prejudis pada perhimpunan bangsa lain untuk membicarakan masa depan bangsa mereka.

Oleh itu, beliau menyifatkan tohmahan bahawa kerajaan menggunakan pelbagai kongres sebelum ini untuk mewajarkan perampasan kekayaan negara bagi kepentingan kelompok elit Melayu adalah keterlaluan.

Tegas beliau, semangat dan aspirasi pelbagai siri kongres sebelum ini ialah untuk mengupayakan penglibatan Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian.

Kongres-kongres yang diadakan termasuk Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 sama sekali bukan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kaum pemodal tertentu dari kalangan bangsa Melayu.

Menurut beliau, hasrat kerajaan jelas, iaitu agenda ekonomi bumiputera memerlukan kecerdasan dan paradigma baru, sesuai sifat zaman yang berubah deras.

Artikel berkaitan: Lian Ker, jangan terdesak risau nanti tersedak – Wan Rosdy

Ti Lian Ker pertikaikan hak istimewa kaum Melayu – Puad

Kongres Ekonomi Bumiputera tak pernah sentuh hak kaum lain – Dr Akmal

Ia di anjurkan untuk membincangkan idea kontemporari dan agenda kalis masa, bagi memastikan keterlibatan kaum bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian terus di sokong dan diupayakan.

“Bangsa Melayu sangat terdampak dengan perubahan pantas lanskap ekonomi global yang dipacu ledakan teknologi maklumat, sains dan kejuruteraan termaju.

“Pelbagai kesan globalisasi dan konflik antarabangsa yang mutakhir juga sangat menggugat kebolehsaingan kaum bumiputera.

“Isu-isu besar seperti impak perubahan cuaca, krisis makanan, pandemic, kemunculan kecerdikan buatan (AI), kemajuan fintech serta tren kontemporari pematuhan kerangka ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) semuanya sangat penting dibahas dan di fikirkan dalam konteks kemajuan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera,” tambahnya dalam satu hantaran melalui Facebooknya.

Baru-baru ini, Senator Ti Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara meminta kerajaan tidak meneruskan program berkenaan sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.

Bekas Naib Presiden MCA itu berkata, sudah tiba masa Kongres Ekonomi Bumiputera tidak lagi dibuat bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform pihak oportunis mengambil kesempatan.

Kata beliau, ia bukan langkah untuk menidakkan hak orang Melayu tetapi setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis Kongres Ekonomi Bumiputera bersiri-siri yang gagal mencapai matlamat.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan, kerajaan berperanan untuk memastikan potensi setiap bangsa dalam tanah air ini dibongkar dan dimajukan secara bertanggungjawab.

Apatah lagi, bangsa Melayu sememangnya terkebelakang dalam pelbagai sektor ekonomi dan perdagangan.

Maka, katanya, semangat itulah yang akan dibawa dalam Kongres Melayu akan datang.

Ia untuk memastikan tiada siapa akan tertinggal dalam kepesatan dan pemodenan ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette

Henti kongres bumiputera bukan kenyataan saya, ia diputar belit – Lian Ker