KUANTAN – ”Jangan nampak terlalu terdesak, risau nanti tersedak”.
Itu pesanan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Datuk Seri Ti Lian Ker supaya tidak cuba memercikkan api perkauman dalam melibatkan isu 3R (kaum, agama dan institusi raja).
”Saya meneliti ucapan-ucapan yang disampaikan oleh Senator Datuk Seri Ti Lian Ker akhir-akhir ini macam sengaja cari masalah. Tidak pasti sama ada luka masih berdarah melihat keakraban Kerajaan Perpaduan atau sengaja nak cari nama atau publisiti di hujung nyawa politik beliau.
”Kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu harus kuat dan stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Menteri Besar Pahang itu, sejarah telah membuktikan jika agenda Melayu dan kepentingan Melayu terkebelakang maka kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara juga turut akan terjejas keseluruhannya.
”Mundur Melayu, mundur jua negara. Jadi, apa masalah kalau ada kongres yang membincangkan soal ekonomi orang Melayu?
”Ini untuk kepentingan nasional dan nikmatnya akan turut dikongsi oleh kaum-kaum lain, seperti yang dinikmati sekarang,” ujarnya.
Paling mustrahak, tegas Wan Rosdy, tidak ada halangan untuk mana-mana kaum pun di bumi Malaysia ini mengadakan kongres seperti itu.
Masyarakat Cina sebagai contoh, mempunyai banyak kongres dan perbincangan yang diadakan melalui pelbagai persatuan dan NGO yang berasaskan ekonomi dan ia tidak langsung dijadikan isu.
”Malah saya sebagai Menteri Besar Pahang juga ada beri sumbangan khas kerajaan negeri kepada persatuan-persatuan ini. Jangan cuba percik api perkauman dalam agenda yang melibatkan 3R,” katanya.
Terdahulu ucapan Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara yang meminta kerajaan tidak meneruskan program Kongres Ekonomi Bumiputera sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat.
Bekas Naib Presiden MCA itu berkata, sudah tiba masa kongres itu tidak ‘ditunggang bagi meraih keuntungan politik’ atau dijadikan sebagai platform pihak oportunis mengambil kesempatan.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Belia Dan Sukan mengatakan negara masih lagi mengadakan kongres secara bersiri namun gagal mencapai matlamat setelah lebih 50 tahun. – MalaysiaGazette