KUALA LUMPUR – Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) mensasarkan pendapatan lebih tinggi menjelang Disember 2024 berbanding RM1.39 bilion setakat November tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, beliau menaruh harapan dan kepercayaan kepada kemampuan pengurusan baharu MyCEB yang akan mempergiatkan aktiviti promosi pada tahun hadapan.
Dengan pengalaman luas dalam industri korporat yang dimiliki Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azman Tambi Chik, beliau yakin MyCEB mampu mencapai sasaran itu, sekali gus menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.
“MyCEB tahun ini berjaya menjana lebih RM1.39 bilion dari segi kemasukan konvensyen antarabangsa.
“Saya percaya angka RM1.39 bilion ini bukanlah tidak bagus dan boleh diusahakan.
“Saudara Azman ada tempoh setahun untuk tingkatkan angka itu kita sudah ada perancangan untuk mempergiat aktiviti MyCEB tahun depan,” katanya
kepada pemberita selepas majlis suai mesra MyCEB bersama media di Hotel Pavilion, di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, MyCEB akan membida lebih banyak konvensyen di luar negara untuk diadakan di Malaysia dalam misi menjadikan negara sebagai hab acara perniagaan di rantau Asia Tenggara.
“Perkara ini selari dengan hasrat menteri yang menyarankan MyCEB menumpukan China, India dan Timur Tengah.
“Itu matlamat utama kita untuk China, India, Timur Tengah memberi lebih impak bagi Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette