Pembantu perubatan mengesahkan seorang mangsa buruh binaan yang maut akibat tertimbus ketika melakukan kerja pembinaan di Lipis Isnin lalu.

LIPIS – Nasib malang menimpa seorang pekerja buruh binaan dari Indonesia apabila maut tertimbus dalam tanah di Tapak Projek CSR Kg Berembang Padang Tengku, Kuala Lipis hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa dikenali sebagai Khairul Anam berusia 28 tahun baru sahaja lima bulan berkhidmat dengan syarikat subcon kontraktor itu dmaut selepas tertimbus selama kira-kira 15 minit.

Superintendan Azli Mohd Noor

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi itu dikatakan sedang melakukan proses mengukur bagi  kerja mengorek tanah dengan bantuan sebuah excavator untuk membuat culvert di kawasan berkenaan.

”Ketika kejadian pukul 11.15 pagi tadi, terdapat tiga lagi pekerja di kawasan pembinaan bersama mangsa membabitkan operator mesin excavator, juruukur dan pekerja trafik CSR.

”Namun selepas mesin excavator berhenti, mangsa turun ke dalam longkang untuk mengukur kedalaman. Secara tiba-tiba tanah mengelusur lalu menimbus mangsa.

”Ketiga-tiga saksi terus turun  membantu dan mengorek tanah tertimbus lebih kurang 15 minit dan membawa mangsa naik ke atas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil siasatan awal menunjukkan longkang tersebut berkedalaman 2.5 meter dengan lebar 1.6 meter.

Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh pembantu perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang mengesahkan mayat mangsa telah dikeluarkan oleh rakan sekerja dengan menggunakan jentera excavator.

Pasukan bomba bertindak dengan membuat pemeriksaan kawasan di lokasi bagi memastikan kawasan kejadian adalah selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast